www.iluvislam.com
Persoalan tentang alam ghaib hanya didengar melalui dalil-dalil. Namun, hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Antara perkara berbentuk al-ghaibiyyah ialah kapal nabi Nuh, tongkat Nabi Musa, syurga, neraka dan lain - lain. Kita tidak digalakkan untuk memperincikan bagaimana bentuknya, bila berlaku, adakah berjasad atau tidak serta seumpamanya. Begitu juga tentang dajjal yang termasuk dalam persoalan al-ghaibiyyah.
Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah dajjal. Baginda telah bersabda:
“Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin."
“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan aku terangkan kepada kamu ciri-ciri dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya."
“Pada mulanya nanti dajjal itu mengaku dirinya sebagai Nabi. Ingatlah, tidak ada lagi Nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata dajjal itu tertulis ‘kafir’, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf."
“Di antara fitnah dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, iaitu panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk."
Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Menjelang turunnya dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.”
Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya dajjal nanti, Madinah dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.”
Allah dan RasulNYA telah ajar cara untuk mengatasi fitnah dajjal. Antaranya ialah dengan menghafal 10 ayat pertama surah al-Kahfi seperti yang direkodkan oleh Imam Muslim dalam sohehnya, nombor 809 yang bermaksud:
Dari Abu Darda' r.a Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Siapa yang menghafal 10 ayat pertama dari surah al-Kahfi terpelihara daripada dajjal."
Dan satu lagi hadis dari kitab Al-Dhurr Al-manthur oleh al-Suyuti (5:355) yang bermaksud:
"Sesiapa yang membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, ianya dihindari dari dosa besar selama 8 hari, dari setiap fitnah yang muncul. Dan sesungguhnya apabila munculnya dajjal, terpeliharalah darinya."
4 kisah dipaparkan oleh Allah SWT di dalam Surah al-Kahfi.
Segala hadith Nabi s.a.w. menjelaskan tentang keutamaan membaca surah ini pada hari Jumaat dengan manfaat terbesarnya ialah: terselamat dari Fitnah Dajjal.
Bermula daripada kisah Ashaab al-Kahf, ia diikuti dengan kisah pemilik dua kebun bersama sahabatnya yang Mukmin, disusuli pula dengan kisah Musa bersama seorang hamba yang soleh (Khidr) dan disempurnakan dengan pembentangan kisah Dzulqarnain.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com