11.12.10

Jika syurga dan neraka tiada

DALAM surah al-Mukminun ayat 1 hingga 11 Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kehormatannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari di sebalik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanahnya (yang dipikulnya) dan janjinya. dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.

Motivasi yang tidak ada tolok bandingannya dalam kita berusaha memperoleh tiket meraih syurga Firdaus, iaitu manusia perlulah beriman dan memenuhi tujuh perkara berikut:

1.Khusyuk dalam solat

2.Menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia

3.Menunaikan zakat

4.Menjaga kemaluan

5.Memelihara amanah-amanah yang dipikul

6.Memegang janji dan

7.Memelihara solat.


Mungkin tujuh perkara di atas nampak mudah namun untuk mempraktikkannya perlu kepada kesungguhan dan disiplin. Pun begitu, setiap sesuatu itu ada jalan penyelesaian dan jawapannya. Malah sesuatu kejayaan itu datang dalam diri individu itu sendiri.


Namun pernahkah kita bayangkan jika sekiranya syurga dan neraka itu tidak ada? Adakah manusia mahu sujud kepada Allah? Barangkali wajar kita kemukakan pertanyaan ini.


Ini kerana ramai manusia di atas muka bumi ini yang beribadat kepada Allah kerana menginginkan syurga dan takutkan neraka.


Syurga dan neraka ibarat hitam putih kehidupan yang menunjukkan kebaikan dan keburukan. Kehidupan setiap manusia berakhir sama ada di syurga ataupun di neraka.


Ibnu Umar melaporkan, Nabi Muhammad SAW bersabda:

Apabila seseorang daripada kamu meninggal dunia, diperlihatkan kepadanya di waktu pagi dan petang tempat tinggalnya nanti iaitu neraka ataupun syurga dan dikatakan kepadanya, "Inilah tempat tinggal engkau, kelak engkau dihantar ke sana." (riwayat Imam Bukhari)
Namun sejauh manakah kita memanfaatkan dan menghayati erti syurga dan neraka yang sebenar. Adakah semata-mata kerana ganjaran syurga dan takut pada seksaan api neraka, kita tunduk patuh kepada perintah Allah atau disebabkan keikhlasan kita sebagai hamba-Nya yang beriman.



from http://hanifhafiz.blogspot.com/2010/12/jika-syurga-dan-neraka-tiada.html

No comments:

Post a Comment