DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH DAN SEGALA PUJI BAGI-NYA
Kemajuan semasa di dalam bidang perubatan dan sains kehidupan telah memperolehi ciri-ciri revolusioner .. dan menjuarai kemajuan di dalam bidang teknologi perubatan dan kejuruteraan manusia yang sungguh membanggakan. Seperti daya kuasa lain, biosains juga perlu dimanfaatkan untuk kebajikan manusia dan perlu dibimbing supaya tidak disalahgunakan menjadi kuasa penghancur seperti yang berlaku kepada fisi nuklear di masa yang lalu. Di waktu kebangkitan penggunaan perjumpaan moden reproduksi manusia, keturunan, DNA rekombinasi dan sintesis ubat-ubatan yang boleh memberi kesan kepada kelakuan, generasi sekarang sedang menyaksikan satu cabaran yang hebat terhadap warisan nilai-nilai moral dan tatacara kelakuan.
Di dalam usaha untuk mengekalkan ilmu manusia pada jalan yang ditentukan oleh Allah, kerana Allah telah menghantar manusia ke bumi sebagai khalifah-Nya menakluki bumi. mempelajari undang-undang Allah dan menggunakannya untuk jalan kebaikan, maka dengan itu dokumen ini telah dibentangkan di Persidangan Antarbangsa Perubatan Islam yang pertama yang telah diadakan di Kuwait sewaktu menjelangnya kurun ke-15 Hijrah. (6-10 Rabiul Awal 1401: 12-16 Januari 1981). Dokumen ini telah disahkan oleh persidangan sebagai tatacara Etika Perubatan Islam .
Adalah diharapkan penerimaan dokumen ini oleh badan-badan perubatan di dunia Islam akan menjadi bidang untuk bekerjasama .. di waktu terdapat banyak perbedaan yang memisahkan kita semua. Adalah diharapkan setiap doktor Muslim akan mendapat cahaya pedoman dari dokumen ini dengan mengekalkan perilaku profesinya mengikut garis panduan ajaran Islam. Penuntut perubatan dan paramedik hendaklah menjadikan dokumen ini sebagai panduan bagi masa hadapan. Dengan itu mereka akan lebih bersedia untuk menempuh dunia profesi mereka dan tahu apa yang hendak dibuat dan apa yang patut dihindari dan bersedia untuk menghadapi apa-apa tekanan, godaan atau kekeliruan. Kepada ahli sains perubatan dokumen ini dapat membantu mereka di dalam menentukan arah tujuan menggunakan maklumat sains dan teknologi untuk kebajikan manusia dan bukan kearah bahaya atau kehancuran. Kami yakin rakan seperjuangan yang bukan Islam juga dapat melihat di dalam dokumen ini gambaran kehendak Tuhan tentang apa yang patut dilakukan oleh manusia dan bagaimana melakukannya. Kepada Allah kita percaya .. dan kepadaNya kita memohon panduan.
DEFINISI PROFESION PERUBATAN
* “Therapeusis” ialah profesion yang mulia. Allah merestuinya dengan menjadikan mukjizat kepada Isa anak Mariam a.s. Nabi Ibrahim a.s. semasa mengira pemberian Allah kepadanya termasuklah “Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku”
* Sepertimana kesemua bidang pengetahuan, pengetahuan perubatan adalah sebahagian daripada ilmu Allah “Yang mengajar manusia apa yang tidak pernah diketahui oleh manusia”. Menuntut ilmu perubatan memerlukan pendedahan kebesaran Allah dengan ciptaan-Nya. “Dan juga pada diri kamu sendiri … Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu )”. Amalan perubatan membawa manusia dekat kepada belas kasihan Allah. Oleh itu amalan perubatan adalah satu ibadat dan kebajikan selain daripada kerjaya untuk mencari rezeki.
* Walau bagaimanapun rahmat Allah boleh sampai kepada semua manusia termasuk yang baik dan yang jahat, yang berbudi dan yang busuk hati dan kawan serta lawan – samalah seperti cahaya matahari-Nya, keselesaan bayu-Nya, kesejukan air-Nya dan pemberian-pemberian-Nya yang banyak. Dan pada asas inilah profesion perubatan harus beroperasi, mengikuti lunas-lunas rahmat Allah tanpa menimbulkan permusuhan atau membuat apa-apa hukuman, tidak sekali-kali menjadikan keadilan sebagai matlamat tetapi belas kasihan, di dalam apa jua situasi dan keadaan.
* Dari segi ini profesion perubatan hanyalah satu-satu profesion yang tidak mungkin tunduk kepada tekanan sosial yang di sebabkan oleh permusuhan atau perselisihan peribadi, politik atau ketenteraan. Kepimpinan yang bebas dari kejahilan dapat mengekalkan keutuhan profesion perubatan dan melindungi kedudukannya dari permusuhan dan perseteruan.
* Menyediakan perkhidmatan perubatan adalah satu tuntutan agama ke atas masyarakat, iaitu fardu kifayah yang boleh disempurnakan bagi pihak masyarakat oleh anggota-anggotanya yang mempelajari perubatan. Adalah menjadi tugas kerajaan untuk memastikan keperluan doktor di dalam pelbagai kepakaran untuk negara. Di dalam Islam tugas ini adalah tanggungjawab pemerintah negara.
* Kepakaran perubatan yang tidak terdapat di dalam negeri mungkin diimport. Adalah menjadi tanggungjawab negara untuk menyediakan keperluan ini.
* Adalah menjadi kewajipan negara juga untuk memilih calon-calon yang sesuai dari kalangan pemuda-pemudi tempatan untuk dilatih sebagai doktor. Tanggungjawab yang jelas ialah menubuhkan sekolah, fakulti, klinik, hospital dan institusi yang dilengkapkan dengan peralatan dan kakitangan yang secukupnya untuk tujuan tersebut.
* “Perubatan adalah satu keperluan agama bagi satu-satu masyarakat. Dari segi pengertian ugama, apa jua yang diperlukan untuk sesuatu keperluan, secara otomatik akan menjadi “keperluan”. Oleh itu pengecualian dari sesetengah hukum umum harus dibuat untuk membolehkan pelaksanaan pengajaran perubatan. Contohnya, pemeriksaan rapi badan manusia sama ada hidup atau mati tanpa mencabul kehormatan seseorang, semasa hidup atau mati dan sentiasa di dalam ketaatan kepada ugama dan menyedari kehadiran Allah.
* Pemeliharaan nyawa seseorang hendaklah merangkumi penghormatan terhadap kemuliaan, perasaan kelembutan orang itu dan juga tanpa mencabul sentimen dan anggota tubuhnya. Seorang pesakit berhak menerima layanan yang sepenuhnya, penjagaan dan perasaan selamat semasa bersama doktornya. Keistimewaan seseorang doktor yang diberi pengecualian dari sesetengah hukum umum hendaklah disertai dengan rasa tanggungjawab yang lebih dan menjalankan tugasnya dengan penuh teliti dan cemerlang dibawah pemerhatian Allah. “kecemerlangan memerlukan kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Walaupun kamu tidak melihat-Nya Allah sentiasa melihat kamu.”
“Imam Ghazali menganggap profesion perubatan sebagai fardu kifayah, satu tugas yang mesti dilakukan oleh sesetengah ahli di dalam satu-satu masyarakat. Amalan ini lazim dilakukan kerana keperluan kesihatan adalah satu keperluan asas. Jika kesihatan terjejas, apa jua di dunia ini tidak dapat dinikmati.”
Untuk tujuan pengubatan, pengamal perubatan dibenarkan melihat bahagian tubuh yang tertutup dan juga bahagian sulit. Kelonggaran ini dibuat berdasarkan kaedah ilmu hukum “larangan diketepikan bila perlu” … dan menepati ajaran al-Quran yang “membolehkan membuat sesuatu tetapi bukan dengan niat jahat”. Pada zaman awal Islam pasukan perubatan wanita menyertai tentera Rasulullah s.a.w di medan pertempuran untuk merawat tentera yang tercedera dan membalut luka di mana-mana juga bahagian badan.
Alasan ini menjadikan pendapat di atas tidak boleh dipertikaikan lagi atau menimbulkan perselisihan pendapat. Keperluan untuk mengimpot kepakaran perubatan dari kalangan orang bukan Islam untuk mengubati orang Islam hanya boleh diputuskan berdasarkan keadaan pesakit dan keupayaan doktor. Semenjak dahulu lagi negara Islam mengambil doktor Kristian dari Jundishapur untuk bekerja dan melayan mereka dengan baik sekali. Sebagai ingatan, pemandu jalan Rasulullah s.a.w semasa berhijrah ialah Abdullah Ibn Uraikit, seorang bukan Islam. Ia dipilih kerana kejujurannya dan juga pengetahuan yang baik mengenai jalan yang dilalui.
Perwatakan Pengamal Perubatan
WATAK SEORANG DOKTOR
* Seseorang doktor mestilah terdiri dari kalangan orang yang percayakan Tuhan, menunaikan hah-hak-Nya, menyedari keagungan-Nya, mentaati perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, dan mematuhi-Nya di dalam persembunyian atau khalayak ramai.
* Seseorang doktor mestilah mempunyai sikap yang bijaksana dan boleh menjadi penasihat yang menarik. Ia hendaklah menjadi penggalak, tidak pelemah semangat, berwajah tersenyum dan tidak masam, penyayang dan tidak membenci dan penyabar. Ia tidak mungkin tunduk kepada perasaan dengki atau kurang rasa belas kasihan. Ia mestilah menjadi alat kepada keadilan Tuhan, kemaafan dan bukan hukuman, perlindungan dan bukan pendedahan.
* Ia mestilah menjadi seorang yang tenang dan tidak gopoh walau pun ketika ia benar .. jujur di dalam percakapannya walaupun bila bergurau .. lembut suaranya dan tidak bising atau kasar, bersih serta kemas dan tidak selekeh atau kusut-masai .. boleh dipercayai dan di dorongi supaya di hormati .. bersikap sopan di dalam urusannya dengan yang kaya atau miskin, rendah atau tinggi kedudukannya .. dapat mengawal ketenangan hatinya dengan baik .. dan tidak mungkin mengkompromi kemuliaannya, tetapi lembut dan “forebearing”.
* Seorang doktor mestilah sedar dengan sepenuhnya bahawa nyawa adalah kepunyaan Allah .. hanya dikurniakan oleh-Nya .. dan mati adalah kesudahan hayat seseorang dan permulaan satu penghidupan yang baru. Kematian adalah satu kebenaran yang teguh .. dan adalah kesudahan bagi semua kecuali Allah. Di dalam professionnya seorang doktor berjuang untuk menyelamatkan dan mempertahankan nyawa sahaja sebaik mungkin, seberapa yang terdaya olehnya.
* Seorang doktor mestilah mempamerkan contoh yang baik seperti menjaga kesihatannya sendiri. Adalah tidak wajar baginya jika segala peraturan yang dianjurkannya tidak dituruti oleh diri- nya sendiri. Ia tidak sepatutnya membelakangkan diri terhadap pengajaran dari kemajuan ilmu perubatan, kerana ia tidak boleh mempengaruhi pesakitnya kecuali dia sendiri menunjukkan bukti yang meyakinkan .. Allah menerangkan di dalam al-Quran “dan jangan kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. Rasulullah s.a.w bersabda “badan kamu mempunyai hak ke atas diri kamu” .. dan pepatah ada menyebut “no harm or harming in Islam”.
* Seorang doktor sentiasa jujur bila berkata, menulis atau memberi keterangan. Ia hendaklah tidak terpengaruh oleh kepercayaan ugama, tamak haluba, persahabatan atau tekanan pemerintah supaya membuat kenyataan atau memberi keterangan palsu. Memberi keterangan adalah satu tugas yang sangat besar dan serius di dalam Islam. Rasulullah s.a.w pernah bertanya kepada para sahabat “mahukah aku beritahu kamu apakah dosa yang paling besar ?” Apabila mereka berkata ya baginda bersabda “mensyirikkan Allah, tidak memenuhi tanggungjawab terhadap ibubapa ..” dan selepas berhenti sejenak baginda berulang-ulang bersabda “dan sesungguhnya memberi ucapan bohong atau keterangan palsu”.
* Seorang doktor mestilah mempunyai satu tahap pengetahuan ilmu hukum, ibadat dan asas ilmu Fiqah untuk membolehkannya memberi nasihat kepada pesakit yang memerlukan panduan mengenai kesihatan dan keadaan tubuh badan untuk dikaitkan dengan amalan ibadat. Manusia boleh terdedah kepada gejala penyakit atau keadaan fisiologi seperti hamil, dan perlu mengetahui hukum berkaitan dengan sembahyang, puasa, menunaikan haji, merancang keluarga dan lain-lain..
* Walaupun “larangan boleh diketepikan bila perlu”, seorang doktor Muslim hendaklah mengelak dari menggunakan ubat-ubatan atau cara terapi (pembedahan, perubatan am atau terapi perangai) yang diharamkan oleh Islam.
* Peranan seorang doktor ialah penggerak (mangkin) kepada kehendak Allah, Pencipta, supaya nyawa dan kesihatan dipelihara. Ia hanyalah bertindak sebagai alat Tuhan di dalam meringankan penyakit manusia. Oleh itu seorang doktor hendaklah bersyukur dan sentiasa memohon pertolongan dari Allah. Ia hendaklah sentiasa merendah diri, bebas dari keangkuhan dan kemegahan dan tidak bercakap besar atau mengagong-agongkan diri sendiri melalui percakapan, penulisan atau pengiklanan secara langsung atau tersembunyi.
* Seorang doktor hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan semasa kemajuan sains dan pembaharuan. Kecergasan atau kemalasannya dan pengetahuan atau kejahilannya, secara langsung memberi kesan ke atas kesihatan dan kesejahteraan pesakitnya. Tanggungjawab keatas orang lain menghadkan kebebasannya menggunakan masa. Sepertimana orang miskin dan yang memerlukan mempunyai hak yang diiktiraf keatas orang yang berada, begitu juga pesakit mempunyai hak ke atas sebahagian dari masa seorang doktor untuk diluangkan dibilik bacaan dan mengikuti perkembangan ilmu perubatan.
* Seorang doktor juga perlu mengetahui bahawa mendalami ilmu di dalam Islam mempunyai dua tujuan. Selain daripada kegunaan dari aspek terapeutik, mendalami ilmu itu sendiri ialah suatu ibadat, seperti yang ditunjukkan di dalam al-Quran: “dan berdoa dengan berkata .. Wahai Tuhan ku .. tambahilah ilmuku”. dan: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu” .. dan: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat”.
PERHUBUNGAN DIANTARA DOKTOR
* Seorang doktor adalah saudara kepada setiap doktor yang lain dan rakan sejawat di dalam satu misi yang mulia sebagai menyahut seruan Allah seperti di dalam firman-Nya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”.
* Para doktor adalah bertanggungjawab ke atas penjagaan kesihatan sesebuah negara .. dan saling membantu di antara bidang-bidang kepakaran, dari segi pencegahan atau pengubatan, di sektor swasta atau perkhidmatan kerajaan .. kesemuanya mematuhi etika dan peraturan profesion mereka.
* Sebagai satu kumpulan profesional sesebuah negara, para doktor adalah bertanggungjawab merangka perancangan dan mengambil langkah dan mewujudkan tradisi dan peraturan yang perlu untuk membolehkan mereka secara kumpulan atau perseorangan menjalankan tugas sebaik mungkin.
* Di dalam semangat persaudaraan, seorang doktor mestilah menghormati rakan sejawatnya di belakangnya. Ia hendaklah menawarkan kepada rakannya nasihat dan/atau pertolongan bila diperlukan. Seorang doktor tidak boleh mengkhianati rakannya dengan mengumpat di belakangnya .. atau menyebut kekurangannya atau mencemarkan nama baiknya atau mempamerkan kelemahannya. Ia tidak sekali-kali mengkhianati saudaranya. Walau bagaimanapun ikatan ini tidak membebaskan seorang doktor dari berkata benar di dalam memberi keterangan perundangan atau di dalam membantu mencegah jenayah : seperti yang telah ditentukan oleh undang-undang.
* Perhubungan di antara doktor ialah satu perhubungan yang bantu membantu dan bukan pertentangan .. dan bekerjasama dengan ikhlas demi kepentingan pesakit. Jika lebih dari seorang doktor merawat seorang pesakit, maklumat perubatan tidak sepatutnya dirahsiakan di antara doktor yang merawat pesakit itu. Maklumat ini hendaklah diperkatakan dengan jelas atau ditulis dengan terang dan jelas. Maklumat ini hendaklah dirahsiakan dikalangan personel perubatan tanpa dibocorkan.
* Jika timbul kesangsian, adalah menjadi tanggungjawab doktor yang merawat (dan hak pesakit) supaya satu rundingan diatur atau kes itu dirujuk kepada seorang pakar. Amalan ini juga disebut didalam al-Quran: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui”. Pakar yang dirujuk akan mengambil langkah yang difikirkan perlu, tetapi akan memberitahu doktor yang merujuk perkembangan semasa dan juga seterusnya.
* Adalah menjadi tanggung-jawab seorang doktor untuk menyampaikan hasil pengalamannya, pengetahuan dan ketajaman kemahirannya kepada doktor yang lebih muda. Dia hendaklah bersedia untuk menyumbangkan khidmatnya di dalam pengajaran dan latihan .. kerana “Orang yang menyembunyikan ilmunya dikutuk”, dan kerana ini adalah sahutan kepada hak rakan seperjuangan, pesakit dan profesion secara amnya dari satu generasi ke generasi yang lain. “Di dalam konteks ini kita patut mengingati sabda Rasulullah s.a.w “Apabila mati seorang anak Adam maka terputuslah segala hubungan kecuali tiga perkara: Amal jariahnya, ilmu yang telah dimanafaatkannya, dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan untuknya”.
* Para doktor hendaklah sentiasa bekerjasama dan bersedia untuk membantu antara satu sama lain dengan serta-merta jika rakan atau keluarganya terkena sakit, atau di dalam hal-hal kesusahan, keperluan, kecacatan atau kematian.
* Pada zaman ini seorang doktor bukan lagi seorang individualis seperti zaman silam … kerana perawatan perubatan sekarang memerlukan satu pasukan – selain dari doktor dan jururawat, juga diperlukan perkhidmatan makmal, fisioterapi, kebajikan perubatan, dan personel lain. Seorang doktor hendaklah memupuk semangat berpasukan dan kerjasama yang sempurna supaya pasukannya dapat menghasilkan perkhidmatan penjagaan pesakit yang terbaik.
* Kod ini meliputi juga kesemua personel dari semua peringkat di dalam semua bidang penjagaan kesihatan.
PERHUBUNGAN DOKTOR-PESAKIT.
* Segala tindakan yang diambil oleh doktor adalah demi kepentingan pesakit dan bukan disebaliknya. Kesihatan adalah matlamat akhir, dan rawatan perubatan hanyalah caranya sahaja .. “pesakit” adalah tuan dan “doktor” sentiasa bersedia untuk memberikan khidmatnya. Rasulullah s.a.w bersabda “Yang kuat hendaklah mengikut langkah yang lemah, kerana yang lemah itulah dijadikan panduan untuk menentukan kadar langkah perjalanan. Peraturan, penjadualan, jadual waktu dan perkhidmatan hendaklah disusun untuk disesuaikan dengan pesakit demi untuk kebajikan dan keselesaannya dan hendaklah diutamakan. Seterusnya barulah keutamaan lain diambil kira.
* Status keutamaan terpenting diberikan kepada pesakit kerana selagi ianya seorang pesakit .. tidak kira siapa orang itu atau apakah jawatannya, seorang pesakit itu tertakluk kepada penyakitnya dan bukan status sosial, kuasa atau perhubungan peribadinya. Cara seorang doktor menguruskan pesakitnya yang ramai menggambarkan secara tepat kejujurannya.
* Bidang kebajikan, kesaksamaan, toleransi dan kesabaran seseorang doktor hendaklah cukup luas untuk merangkumi waris, kawan dan orang-orang yang mengambil berat tentang seseorang pesakit .. tetapi tanpa mengenepikan apa yang telah ditentukan oleh “kerahsian profesional”.
* Kesihatan adalah satu keperluan asas manusia dan bukanlah satu kemewahan. Seterusnya professi perubatan adalah lain dari yang lain kerana seseorang pesakit tidak akan dinafikan perkhidmatan perubatan walau pun jika ia tidak mampu membayar yuran yang diperlukan. Badan penggubal undang-undang perubatan patut memastikan perkhidmatan perubatan diberikan kepada semua yang memerlukan dengan melulus dan melaksanakan undang-undang dan peraturan yang perlu.
* Di dalam perkhidmatan persendirian, yuran yang dikenakan oleh seseorang doktor adalah haknya yang sah .. dan pendapatannya adalah sah .. dan hanya dikawal oleh perasaan hatinya sendiri, dengan menyedari bahawa Allah itu sentiasa melihat.
* Jika di atas sebab-sebab terdesak atau kecemasan, seorang pesakit yang miskin dirawat oleh seorang doktor, adalah menjadi tanggungjawab beliau supaya bertimbang rasa dan murah hati, dan mengelakkan apa-apa yuran yang dikenakan tidak menambahkan lagi beban pesakit itu. Memberi sesuatu kepada yang miskin samalah seperti memberikan kepada Allah kerana zakat itu bukan hanya dituntut dari harta benda tetapi juga ke atas ilmu dan kemahiran. Profesion perubatan pada asasnya ialah tugas untuk membantu manusia di dalam kesusahan dan bukan mengeksploit pesakitnya.
* Sungguh pun seorang doktor berhak mencari pendapatan yang halal dan hidup dengan selesa, beliau hendaklah sentiasa menghormati piawai professinya yang tinggi dan menegakkannya sebaik mungkin. Dia tidak melibatkan diri dengan aktiviti propaganda, menerima komisen atau memotong pendapatan atau perbuatan salah yang sepertinya.
KERAHSIAAN PROFESIONAL
Orang-orang yang beriman diperintahkan menyimpan rahsia orang lain … lebih-lebih lagi jika orang itu seorang doktor, kerana orang akan memberitahu rahsia dan meluahkan perasaan kepada doktor mereka dengan rela hati, yakin dengan kerahsiaan profesional yang dipegang oleh profesion perubatan semenjak awal zaman lagi. Rasulullah s.a.w bersabda bahawa tiga ciri-ciri orang munafik ialah: “Bila dia bercakap dia bohong, bila dia berjanji dia mungkir dan bila disuruh pegang amanah dia khianati”. Seorang doktor hendaklah merahsiakan seketatnya segala maklumat yang diperolehinya melalui penglihatan, pendengaran atau secara kesimpulan. Semangat keIslaman juga memerlukan butir-butir di dalam undang-undang patut menekankan hak pesakit untuk melindungi rahsia mereka yang telah diluahkan kepada doktor. Pengkhianatan keatas amanah ini akan menjejaskan imej amalan perubatan, selain dari menjauhkan kumpulan tertentu dari mendapatkan bantuan rawatan perubatan.
TUGAS DOKTOR SEMASA PERANG
* Semenjak dari peperangan-peperangan awal Islam lagi, undang- undang telah ditentukan bahawa tentera yang cedera dilindungi oleh kecederaannya dan begitu juga orang tawanan. Orang-orang yang beriman dipuji didalam al-Quran kerana: “Mereka juga memberikan makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan (serta berkata dengan lidah atau hati): sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih”. Rasulullah s.a.w bersabda kepada sahabat, ” Aku mengamanahkan tawanan perang ini kepada belas kasihan kamu” .. dan mereka menunaikannya .. sehingga memberikan keutamaan kepada tawanan itu dengan memberikan sebaik makanan yang mereka makan. Perlu diingat bahawa kejadian ini berlaku tiga belas kurun sebelum Konvensi Geneva dan penubuhan Palang Merah.
* Apa jua perasaan seorang doktor dan di mana jua mereka berada, dia hendaklah tetap dengan tugas dan tanggungjawab yang satu iaitu melindungi nyawa dan mengubati orang yang sakit dan tercedera.
* Bagaimana jua kelakuan musuh, doktor Muslim tidak akan menukar arahnya .. kerana kedua belah mencerminkan kod perilakunya sendiri. Allah menjelaskan di dalam al-Quran: “Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan”.
* Sebagai sebahagian daripada keluarga perubatan antarabangsa, doktor Muslim hendaklah menghulurkan pertolongan secara menyeluruh untuk melindungi dan menyokong tugas professi perubatan yang mulia ini .. adalah menjadi satu rahmat kepada umat manusia jika peranan perikemanusiaan ini dimainkan oleh kedua pihak yang berperang.
* Professi perubatan tidak mengizinkan sumber teknikal, saintifik atau lain-lainnya digunakan dengan cara pengkhianatan, merosakkan atau mencederakan manusia di dalam bentuk fizikal, psikologi, moral atau lain-lain kecederaan .. dengan tidak mengira kepentingan politik atau ketenteraan.
* Amalan doktor hendaklah lurus dengan menawarkan perkhidmatan rawatan dan pengubatan kepada kawan atau musuh, pada peringkat peribadi atau umum.
TANGGUNGJAWAB DAN LIABILITI
* Mengamal perubatan hanya boleh dilakukan dengan sah oleh individu yang telah diajar, dilatih dan telah lulus serta telah memenuhi syarat yang dikehendaki oleh undang-undang. Panduan mengenai hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w: “Seseorang yang tidak mempunyai ilmu perubatan adalah bertanggungjawab jika ia mengubati orang sakit.”
* Dengan adanya kepakaran perubatan, kes yang bermasaalah hendaklah dirujuk kepada pakar yang berkaitan. “Setiap pakar sebaiknya disesuaikan untuk mengendalikan kes yang memerlukan kemahirannya”.
* Di dalam menguruskan sesuatu kes perubatan, seorang doktor hendaklah bertindak dengan sebaik mungkin. Dengan berbuat begitu, tanpa melakukan kecuaian, setelah mengambil langkah pencegahan yang diperlukan ia tidak dipersalahkan atau dihukum walaupun jika hasilnya tidak memuaskan.
* Doktor adalah wakil pesakit ke atas tubuhnya. Penerimaan doktor oleh pesakit untuk merawatnya dianggap persetujuan ke atas apa-apa rawatan yang ditetapkan oleh doktor itu. Jika rawatan memerlukan pembedahan, persetujuan yang tersebut di atas hendaklah disahkan dengan bertulis, demi untuk melindungi doktor dari apa-apa kemungkinan. Jika pesakit menolak atau tidak bersetuju dengan rawatan yang dicadangkan, penolakan ini juga hendaklah dibuat dengan bertulis, bersaksi atau menanda tangan mengikut keadaan.
* Jika pesakit tidak bersetuju memberi keizinan kerana takut, doktor boleh membantu pesakitnya dengan memberikan ubat seperti ubat penenteram untuk menghilangkan perasaan takut tetapi tidak sampai menghilangkan atau melemahkan kesedarannya, untuk membolehkan pesakit membuat pilihannya dengan tenang dan tenteram. Sebaik-baik cara untuk mencapai tujuan ini ialah sikap doktor itu sendiri, keperibadiannya, baik-budinya, kesabarannya dan pendekatan dengan menggunakan perkataan yang betul.
* Di dalam keadaan kecemasan dan nyawa perlu diselamatkan melalui pembedahan serta-merta atau intervensi lain, Doktor boleh bertindak mengikut peraturan Islam “larangan boleh diketepikan bila perlu”. Kedudukannya adalah selamat dan kukuh walau apa jua hasil tindakannya, asalkan ia telah mengikuti kaedah perubatan yang diterima dengan betul. Tindakan “jahat” dengan tidak menyelamatkan pesakit mengatasi apa yang dianggap perbuatan “baik” dengan membiarkan pesakit membuat keputusan yang merosakkan dirinya sendiri. Hukum Islam mengisytiharkan bahawa “menjahuhi” yang “buruk” lebih diutamakan dari mengambil yang “baik”. Ajaran Rasulullah s.a.w menyebut ” saudara kamu ketika ia benar dan juga ketika ia salah”. Apabila para sahabat bersetuju dengan membantu saudara jika ia benar tetapi hairan dengan memberi bantuan jika bersalah, Rasullullah s.a.w bersabda: “Cegahlah dia dari melakukan kesalahan .. kerana inilah bantuan yang diperlukannya”. ” Sebagai kesimpulan, kriteria ugama yang asas yang boleh melindungi Pengamal Perubatan / ialah :
1) Kelulusan yang diiktiraf
2) Penerimaan seseorang doktor oleh pesakitnya
3) Keikhlasan seseorang doktor dengan bertujuan hanya untuk mengubati pesakitnya
4) Ketiadaan kesalahan yang tidak boleh dimaafkan seperti yang dijelaskan didalam undang-undang perubatan.
KEMURNIAN NYAWA MANUSIA
* “Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu Kami tetapkan atas Bani Isra’il, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau kerana melakukan kerosakan dimuka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” 5-32 (Al- Maaidah).
* Nyawa manusia adalah suci .. dan tidak boleh diambil dengan sengaja kecuali apabila dibenarkan oleh syariat Islam. Semua kebenaran tersebut adalah diluar bidang perubatan.
* Seorang doktor tidak boleh mengambil nyawa walau di atas alasan belas kasihan. Perbuatan ini diharamkan kerana ianya bukan alasan yang dibenarkan untuk membunuh. Panduan tepat didalam hal ini telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w: “Pada suatu masa dulu ada seorang tua yang tidak boleh bersabar lagi dengan derita penyakitnya lalu telah menghiris pergelangan tangannya. Pendarahan berlaku sehingga membawa maut. Allah telah marah dan berkata “umatku telah menyegerakan ajalnya … aku haramkan kepadanya syurgaku”. “Membunuh kerana belas kasihan – seperti membunuh diri – tidak boleh diterima kecuali oleh pemikiran yang tidak mempercayai hari kesudahan. Jika ini satu pemikiran yang bijak, adalah munasabah bagi hampir kesemua manusia membunuh diri untuk melepaskan diri dari kesusahan hidup … kerana jarang kedapatan kehidupan tanpa kesusahan atau penderitaan. Dakwaan supaya pembunuhan boleh dilakukan ke atas pesakit yang tidak mempunyai harapan untuk hidup lagi yang menderita kesakitan juga disangkal. Ini ialah kerana tiada kesakitan yang tidak boleh dilegakan dengan ubat-ubatan yang ada atau pembedahan neurosurgeri yang munasabah. Satu lagi kategori ialah pembunuhan untuk melegakan penderitaan yang disebabkan oleh kecacatan. Jika pendapat ini boleh diterima, seterusnya akan ada dakwaan supaya orang-orang tua dan yang tidak berguna lagi kepada masyarakat dibunuh sebagai langkah membenteras pertambahan penduduk keperingkat yang tidak dapat ditampung oleh hasil bumi yang ada”.
* Kesucian nyawa manusia meliputi kesemua peringkat termasuk embrio dan janin semasa didalam rahim lagi. Maklumat ini hendaklah diambil kira oleh seseorang doktor. Pengecualian hanyalah dibenarkan didalam keadaan terdesak (alasan perubatan) dan dibenarkan oleh Hukum Syarak. “Hal ini sangatlah bersesuaian dengan sains perubatan moden yang akhir-akhir ini telah memperkenalkan satu bidang kepakaran yang dikenali sebagai Perubatan Janin (Foetus Medicine)… untuk mendiagnosis dan merawat penyakit janin (didalam rahim), dan mereka uri tiruan untuk menyelamatkan janin yang digugurkan yang tidak boleh hidup sendirian. Polisi moden yang membenarkan penguguran tidak diterima oleh Islam, yang memberikan hak-hak tertentu kepada janin. Di- dalam Islam pengguguran melibatkan wang tebusan. Janin mempunyai hak ke atas harta pusaka dan jika semasa digugurkan ia hidup dan mati selepas itu harta yang diwarisi hendaklah dibahagikan kepada warisnya yang berhak. Jika seorang perempuan yang hamil dijatuhi hukuman mati kerana kesalahan jenayah, pelaksanaan hukuman tersebut hendaklah ditangguhkan sehingga perempuan itu melahirkan dan menyusui anaknya… walau pun jika anak itu anak diluar nikah. Dengan itu hak asas bagi janin untuk hidup adalah jelas”
* Didalam tugasnya menyelamatkan nyawa, seseorang doktor adalah dinasihati supaya menyedari had sempadannya dan tidak melanggar had itu. Jika dari segi sains satu-satu nyawa itu sudah pasti tidak dapat diselamatkan lagi, adalah sia-sia untuk dengan beraninya mengekalkan kehidupan vegetatif dengan cara penggiatan, atau memeliharanya dengan pembekuan atau cara tiruan yang lain. Tugas doktor ialah untuk mengekalkan proses kehidupan dan bukan proses kematian. Walau bagaimanapun doktor tidak boleh mengambil langkah yang positif untuk mengakhiri hayat seseorang pesakit.
* Pengisytiharan kematian seseorang adalah satu tanggung-jawab yang penting yang diberikan kepada seseorang doktor. Beliau hendaklah menyedari betapa seriusnya keputusannya itu dan membuatnya dengan penuh ikhlas dan keyakinan. Jika terdapat sebarang keraguan ia hendaklah menghilangkannya dengan perundingan atau dengan menggunakan peralatan sains yang moden.
* Bagi pesakit yang sudah tidak boleh sembuh lagi, doktor hendaklah dengan sebaik mungkin dengan memberi penjagaan yang baik, sokongan moral dan menghilangkan kesakitan dan penderitaan semasa hayatnaya.
* Doktor hendaklah mempersetujui permintaan pesakit untuk mengetahui tentang penyakitnya. Walau bagaimanapun cara menjawabnya hendaklah disesuaikan dengan pesakit itu sendiri. Adalah menjadi tugas doktor itu untuk mengkaji ketepatan psikologi pesakitnya itu. Ia tidak sepatutnya ketandusan perbendaharaan kata jika keadaan memerlukannya mengelakkan penggunaan istilah yang menakutkan atau penciptaan perkataan, ungkapan atau penerangan yang baru.
* Didalam semua keadaan, seorang doktor hendaklah berupaya menyokong kepercayaan pesakitnya dan memberikannya kesejahteraan dan ketenangan fikiran.
DOKTOR DAN MASYARAKAT
* Doktor adalah seorang ahli masyarakat didalam erti kata yang sebenarnya dengan menjaga dan memelihara masyarakatnya. Rasulullah s.a.w bersabda .. Religion is to give honest advice for God and his apostle and to Muslim leaders and public.
* Misi doktor melampaui pengubatan penyakit sehingga mengambil kesemua langkah untuk mencegah penyakit dari berlaku, ini bersesuaian dengan perintah al-Quran: “Jangan biarkan tangan kamu sendiri menjerumuskan kamu kedalam kebinasaan”. Rasulullah s.a.w membayangkan polisi “pencegahan” didalam sabdanya: “Apabila sesuatu daerah diserang oleh wabak jangan kamu memasukinya .. tetapi jika kamu berada didalamnya, jangan kamu keluar”.
* Profesion perubatan hendaklah bertanggungjawab untuk memerangi tabiat yang merosakkan kesihatan seperti merokok, sifat pengotor dan lain-lain. Selain dari mendidik masyarakat dan kempen, profesion perubatan patut menekan dengan bersungguh-bersungguh pihak penggubal undang-undang supaya memperuntukkan undang-undang yang perlu. Pembenterasan dan pencegahan pengotoran alam sekitar termasuk dibawah kategori ini.
* Profilaksis semula jadi terhadap penyakit kelamin dan komplikasinya akibat dari pergaulan seks yang bebas terletak pada memulihkan nilai-nilai yang murni, kebersihan hati, mengawal diri dan menjauhkan diri dari merosakkan diri sendiri dan juga diri orang lain. Amalan nilai-nilai ugama ini adalah “Perubatan pencegahan” dan menjadi bidang dan tanggungjawab profesion perubatan. Di dalam sesetengah negara yang maju, penyakit gonorea dan sifilis telah sampai ke peringkat epidemik dan pihak penguasa kesihatannya meminta pihak berkuasa mengisytiharkan keadaan darurat. Tetapi yang sedihnya nasihat perubatan diberi dengan nada: tidak mengapa, tidak memalukan, perkara biasa, dapatkan nasihat perubatan serta merta jika anda mengesyaki diserang penyakit itu. Tidak ada risalah atau hebahan melalui media massa yang berani menyentuh tentang menjaga kesucian diri sebagai salah satu daripada alternatif profilaksis. Ini bertentangan dengan kempen pencegahan pencemaran, merokok, memakan gula dan lemak dan beberapa yang lain, tetapi kebebasan seks dikecualikan sebagai bidang dimana “doktor tidak patut mempersoalkan mengenai perkara akhlak dan moral … tetapi mengubatinya sahaja”.
* Seorang pengamal perubatan Muslim hendaklah mahir di dalam ajaran Islam dan mematuhinya. Ia hendaklah mengkaji dengan mendalam secara langsung segala data, fakta, bilangan dan projeksi parameter yang terdapat di dalam masyarakat Islam. Berdasarkan kajian ini, keputusan dibuat tentang apa yang patut diterima dan yang mana patut ditolak daripada pengalaman dan kesimpulan masyarakat lain. Sikap mencedok dan meniru dengan membabi buta polisi asing patut dihentikan.
* Masyarakat hendaklah memberikan kepercayaan kepada doktor supaya dipercayai dan juga haknya untuk hidup dengan selesa, mendapat pendapatan yang mencukupi dan mengekalkan kehormatannya. Doktor hendaklah membuktikan bahawa ia wajar diberikan hak- hak tersebut .. jika tidak ia boleh dihukum. “Di dalam semua masyarakat terdapat golongan yang tidak bersyukur dan jahil suka menimbulkan sensasi dan berusaha merosakkan imej orang ramai terhadap profesion perubatan. Kesan perbuatan seperti ini ialah kepada pesakit yang lemah yang tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menyerah kepada doktor untuk rawatan perubatan atau pembedahan. Jika imej buruk doktor sudah tersemai di dalam kepala pesakit itu sudah tentu ia akan menyiksa fikirannya. Pihak akhbar khususnya, patut mengambil kira implikasi ini dan mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak diteliti, salah atau serong. Pihak berkuasa kesihatan hendaklah mengambil tindakan undang-undang terhadap percetakan yang salah. Tindakan ini bukan sahaja melindungi doktor untuk jangka pendek, tetapi juga untuk keselamatan negara dimasa hadapan. Jika doktor sendiri berkelakuan tidak wajar atau melanggar undang-undang, profesionnya hendaklah mengambil tindakan yang keras terhadapnya .. untuk menjaga nama baik amalan perubatan.
DOKTOR DAN KEMAJUAN BIOMEDIKAL MODEN
* Di dalam Islam tidak ada penahanan maklumat tentang penyelidikan, samaada kajian akademik yang menunjukkan tanda kewujudan Allah dan ciptaan Nya atau kajian gunaan yang bertujuan untuk menyelesaikan sesuatu masaalah.
* Kebebasan penyelidikan sains tidaklah sampai mengongkong manusia, seperti memberitahu untuk merosakkannya atau meletakkannya di dalam keadaan yang mungkin boleh membawa kemusnahan kepadanya, menafikan haknya untuk berubat, menipunya atau mengeksploit keperluan kebendaannya.
* Kebebasan penyelidikan sains tidak membenarkan penganiayaan atau penyiksaan ke atas binatang. Protokol yang sesuai hendaklah diadakan bagi memastikan binatang diperlakukan dengan baik ketika menjalankan kajian. Metodologi kajian sains dan amalan dari hasil kajian itu mesti tidak melibatkan dosa seperti zina, merosakkan sistem salasilah, mencacatkan atau mengubah keperibadian, kebebasan dan keupayaan seseorang untuk menanggung tanggungjawab.
* Profesion perubatan mempunyai hak dan bertanggungjawab dengan cara mengambil bahagian sepenuhnya di dalam perumusan dan pengeluaran fatwa mengenai kesahihan jangkaan hasil kemajuan kajian sains semasa atau dimasa hadapan. Fatwa tersebut hendaklah dipersetujui bersama oleh pakar-pakar hukum-hakam dan biosains. Pendapat yang berat sebelah biasanya tidak lengkap dari segi teknik dan perundangan.
* Garis panduan mengenai perkara yang baru yang tidak tersebut di dalam hukum atau rujukan yang ada bolehlah dibuat berdasarkan pepatah Islam: “Di mana ada kebaikan , di sana terdapat undang- undang Allah”.
* Setiap pesakit adalah menjadi tanggungjawab bersama sesebuah masyarakat untuk memastikan keperluan kesihatannya tanpa memudaratkan orang lain. Ini termasuklah menderma darah kepada kes-kes pendarahan atau buah pinggang kepada pesakit buah pinggang yang tidak ada harapan untuk pulih lagi. Amalan ini adalah “Fardu Kifayah”, tugas yang dilakukan oleh seseorang bagi pihak masyarakatnya. Adalah menjadi tugas profesion perubatan untuk mendidik masyarakat, termasuk menggariskan peraturan mengenai prosedur, pengurusan dan teknik serta menentukan polisi keutamaan peraturan tersebut.
* Pendermaan organ tidak boleh dilakukan dengan paksaan, memalukan keluarga, tekanan sosial atau lain-lain tekanan atau mengeksploitasi keperluan kewangan.
* Pendermaan organ tidak seharusnya memberi kesan buruk kepada pendermanya.
* Profesion perubatan memikul tanggungjawab yang berat di dalam menggariskan undang-undang dan peraturan untuk pendermaan organ sewaktu hayat atau selepas meninggal dengan dinyatakan di dalam wasiat atau keizinan dari keluarga; dan juga menubuhkan bank tisu dan organ bagi yang mana-mana boleh disimpan. Kerjasama dengan bank yang sepertinya dari luar negeri hendaklah dibuat berdasarkan bantuan dua hala. ” Khalifah yang kedua, Sayyidina Umar ibnul-Khattab r.a memerintahkan jika terdapat seorang ahli di dalam suatu kumpulan yang mati kebuluran kerana kemiskinannya, maka kumpulan itu dikehendaki membayar fidyah seolah-olah mereka telah membunuhnya. Contoh ini sangat hampir dengan perbuatan membiarkan seseorang mati kerana tiada penderma darah atau buah pinggang. Terdapat dua sunnah Rasulullah s.a.w yang ada kaitan dengan isu ini. Pertama: “Kesetiaan di dalam cinta-mencintai dan kasih-mengasihani adalah seperti tubuh manusia … jika satu bahagian diserang penyakit, kesemua bahagian tubuh akan bekerjasama melawannya. Kedua: Kesetiaan di antara satu sama lain samalah seperti batu-batu di dalam satu bangunan, setiap satu menguatkan yang lain. Allah berfirman di dalam al-Quran mengenai orang yang beriman: “Dan mereka juga mengutamakan orang orang yang berhijrah itu lebih dari diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat”. Amalan ini adalah lebih dari menderma buah pinggang kerana penderma masih ada satu lagi buah pinggang dan dapat hidup dengan sempurna. Hal ini dipastikan oleh doktor sebelum pembedahan dilakukan. Jika orang yang hidup boleh menderma, apa lagi yang sudah meninggal. Perbuatan mengambil jantung, ginjal, mata atau arteri untuk memanafaatkan orang yang hidup tidak “merosakkan” mayat penderma. Amalan ini adalah satu kebajikan … dan menepati firman Allah: “Dan barang siapa yang menyelamatkan nyawa manusia, seolah-olah dia telah menyelamatkan semua manusia”. Walau bagaimanapun perlu diambil perhatian bahawa mana-mana pendermaan hendaklah secara sukarela … kerana jika tidak pemerintahan secara diktator akan mengambil organ-organ dengan paksaan dan mencabul dua hak asas didalam Islam: Hak merdeka dan hak milik seseorang. Di dalam sesuatu masyarakat yang beriman, pendermaan hendaklah dilakukan dengan murah hati sebagai satu ibadat dan kecintaan kepada Allah dan makhluknya. Kita tidak seharusnya dipaksa oleh masyarakat luar di dalam mencapai matlamat yang mulia ini.
PENDIDIKAN PERUBATAN.
* Walaupun pendidikan perubatan ialah satu bidang ilmu, ia hanyalah satu urat dari jalinan kepercayaan kepada Allah, keesaan dan kekuasaan Nya, dan Dia adalah Pencipta dan yang memberikan nyawa, pengetahuan, kematian, dunia ini dan akhirat.
* Semasa merancang untuk melatih dan menghasilkan seseorang doktor, matlamat pokok ialah untuk menjadikannya seorang yang boleh dicontohi dan mempunyai ciri-ciri yang disukai Allah dan bukan yang dibenci Allah, dan dadanya dipenuhi dengan cinta kepada Allah, kepada ummah dan ilmu pengetahuan.
* Pengajar ilmu perubatan hendaklah menunjukkan contoh yang baik kepada pelajarnya, memberi pengajaran yang cukup, bimbingan yang elok dan perhatian yang berterusan di dalam dan di luar kelas dan juga sebelum dan selepas mendapat ijazah.
* Pendidikan perubatan mengutip ilmu tanpa refraktori atau prasangka. Walau bagaimanapun ia hendaklah dilindungi dan dibersihkan dari aktiviti yang boleh membawa kepada faham ateis dan kekufuran.
* Pendidikan perubatan tidak pasif dan tidak juga `autoritatif’. Ia bertujuan untuk menggerakkan aktiviti mental, memperkukuhkan penemuan-penemuan, analisis dan taakulan, menghasilkan pemikiran yang bebas dan menonjolkan persoalan yang baru. Al-Quran menyalahkan orang yang berkata; “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja”, satu sikap yang hanya akan membawa kepada kelembapan dan membantutkan kemajuan.
* “Keikhlasan” adalah penyembuh, pengubat, penghilang tekanan perasaan dan penggerak bagi pemulihan kesihatan. Latihan seseorang doktor menyediakannya untuk memupuk “keikhlasan” dan memberikan khidmatnya kepada pesakit dengan rahmat yang tidak terhad.
* Kurikulum perubatan hendaklah memasukkan di dalam pengajarannya perkara-perkara mengenai hukum-hakam dan ibadat yang berkaitan dengan atau dipengaruhi oleh faktor dan masaalah kesihatan yang berbeza.
* Kurikulum perubatan juga hendaklah memahamkan pelajarnya dengan warisan perubatan dan sains zaman tamaddun Islam, faktor disebalik kemunculan tamaddun Islam, yang menyebabkan kejatuhannya, dan cara-cara untuk mengembalikan zaman kegemilangannya.
* Kurukulum perubatan hendaklah menekankan bahawa amalan perubatan itu adalah satu ibadat .. bukan sahaja dari segi pendekatan kepada kepercayaan kepada Allah dengan berfikir mengenainya, tetapi juga dari segi menggunakannya untuk menolong orang yang berada di dalam kesusahan.
* Kurikulum perubatan patut mengandungi pengajaran dan pelajaran yang terdapat di dalam “Kod Islam Etika Perubatan” ini.
Ikrar Doktor
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Dengan nama Allah yang amat pemurah lagi amat mengasihani
Saya bersumpah demi Allah Yang Agung
Bahawa saya akan mengingati Allah di dalam menjalankan tugas saya
Bahawa saya akan melindungi nyawa manusia disemua peringkat dan di dalam semua keadaan, melakukan dengan seberapa daya saya untuk menyelamatkannya dari maut, penyakit, kesakitan dan kegelisahan.
Bahawa saya akan menjaga kehormatan semua orang, melindungi perkara-perkara peribadi dan mengunci rahsia mereka.
Bahawa saya akan sepanjang masa memperhambakan diri kepada belas kasihan Allah, memberikan khidmat perubatan saya kepada yang dekat dan yang jauh, yang baik dan yang berdosa serta kawan dan lawan. Bahawa saya akan berusaha di dalam mengejar pengetahuan dan menggunakannya untuk manafaat dan bukan untuk merosakkan manusia.
Bahawa saya akan menghormati guru saya, mengajar doktor dibawah saya dan menjadi saudara kepada pengamal perubatan lain dan bekerjasama di dalam semangat ketaqwaan dan kebajikan.
Bahawa saya akan menghidupkan keimanan saya semasa berseorangan atau dikhalayak ramai, mengelakkan perkara yang boleh mencemarkan saya pada pandangan Allah, RasulNya dan orang beriman yang lain. Semoga Allah menjadi saksi kepada ikrar ini.
Kredit kepada website Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia, http://www.papisma.org/
http://fiqhmedic.wordpress.com
No comments:
Post a Comment